Monday, August 9, 2010

biar di situ

indah waktu itu
ceria saat itu
ketika kita berlagu
zaman kanak-kanak tanpa sendu
tiada duka tak pernah buntu

dunia berputar
masa berlalu
pantai berubah
bukit menjadi lurah

bila pertemuan terjadi lagi
manusia yang berlainan di sini
kain putih bercorak kini
telah terlukis warna-warni

semua telah berubah
laluan berbeza arah
pendapat kita bercanggah
kita berada di dua daerah

tapi masih ada yang sama
destinasi tujuan kita
juga senyum ikhlas kita
biarkan sahaja
biar terus terukir di situ saja

Wednesday, February 17, 2010

Solitude

Ruang ini telah terlalu lama dibiarkan sepi. Tapi menyepi bukan bererti berhenti. Berdiam diri bukan merajuk hati. Rencana harian terkadang menenggelamkan diri. Kesibukan tugas selalunya tidak berperi.

Kebelakangan ini hati kerap mengeluh. Melontar pertanyaan dalam diri yang sedang merusuh, membuat situasi semakin keruh. Mengapa keadaan tidak seperti yang diinginkan? Kenapa perasaan begitu sukar untuk dimengertikan? Haruskan pengiktirafan ditagih dan diharapkan? Tidak layakkah untuk diberi penghargaan?

Anehnya, aku saja yang berlagu pilu. Mereka ku lihat tidak pula begitu. Mata ini sering melihat mereka bergurau mesra dan merayu. Kebahgiaan mereka membuatkan hati jadi cemburu, keakraban yang jitu dan tidak pernah jemu, kasih sayang yang dipamerkan mengundang rasa terharu.

Tetapi mungkin aku membuat kesilapan, kerana mereka juga makhluk Allah yg tidak lepas dari ujian dan dugaan. Mereka juga punya masalah seperti aku, seperti org kebanyakan. Tapi mereka tabah, sabar serta merelakan. Mereka menerima dengan ikhlas dalam senyuman. Kerana mereka yakin dengan janji tuhan.

Aku tidak keseorangan. Kepedihan hatiku mereka penah rasakan. Kepayahan laluanku mereka telah berdepan. Seperti mereka yang mengadu kepada tuhan, aku juga seharusnya demikian. Wahai tuhan, berilah aku keikhlasan dan kesabaran.

Sebenarnya tiada manusia yang sempurna, kerana sifat itu milikNya jua. Tetapi Dia kurniakan manusia akal untuk menjadikan hidup ini kelihatan sempurna, agar manusia dapat kecapi bahagia..

Tuesday, June 16, 2009

A Fading Friendship

Masa itu berlalu terlalu pantas, takkan mungkin mampu dipintas, walau berlari seberapa deras, kerana keupayaan ku terbatas.. Andainya terdaya pasti dan teramat pasti akan ku berkeras, mendirikan tembok nan tinggi dan luas, agar tiada yang bisa tembus apatah lagi melintas..

Namun apalah daya diri ini, kira ku telah memberikan sepenuh hati, tidak ingin sekali berakhirnya begini, persahabatan yang dijalin dari hati yang ikhlas suci, yang telah bertahan begitu lama sekali, tapi akhirnya berjauh hati..

Teringat lagi kala itu, waktu kita saling memerlu, saat kita sering berlagu, berkongsi suka dan sendu, berjauhan akan sentiasa merindu, bersahabat kerana Dia yang satu..

Tapi apalah gunanya mengingati detik itu lagi, segalanya telah berlalu kini, kita telah berada di sini, di dunia yang asing dan sunyi, kedewasaan menjadikan kita begini, berbeza pendapat dan kemahuan hati..

Mungkin hati pernah terguris, kerana manusia itu sifatnya egois, tapi apalah kiranya memaafkan agar rasa kasih tidak terus terhakis..

Wednesday, March 11, 2009

Patiently Waiting..

Sering kali membiarkan dia menanti dengan penuh sabar. Terlalu jarang mendengar dia mengeluh, apa lagi merengus saat masa beredar. Selalunya dia hanya duduk bersandar. Kadang-kala matanya meliar, mencari kalau-kalau ada bahan bacaan yang boleh dijadikan peneman agar masanya tidak terbiar.

Kali ini kami bertukar tempat. Sang setia yang sabar pula sibuk dengan urusan yang sarat. Masa berlalu dirasa terlalu lambat. Saat berganti saat, minit turut berhambat, malam semakin lewat. Kesabaran ini bagai disiat-siat.. 

Rupa-rupanya penantian ini sememangnya menyiksakan. Saat ini baru terasa siksa yang pernah dihadapinya dengan aman, detik ini baru timbul belas kasihan membiarkan dia menanti penuh kesabaran. Namun, itu semua tidak berjaya mententeramkan amukan perasaan, yang terlalu rindukan tempat teduhan, tempat di mana terlerainya rawan..

Wednesday, December 10, 2008

Motivation

Saat kaki longlai melangkah, saat hati mulai hambar, saat jiwa terasa lelah ianya mungkin satu petanda diri tidak betah lagi utk meneruskan. Lalu tika itu perlu ada satu desakan yg mampu menjadi faktor pemangkin utk diri meneruskan apa yg perlu dilakukan.

Bukan mudah memujuk hati untuk bersabar & bertahan.. namun saat ini pemikiran perlu memainkan peranan, jangan dibiarkan hati menakluk jasmani setelah rohani berjaya kelirukan. Kedewasaan perlu mengambil tempat. Jangan nanti ternampak sisa-sisa keanakan dlm diri yg kelak bakal memalukan diri sendiri.

Keegoan pula bertandang, memberi rasional kepada tindakan. Harga diri perlu dipertahan agar tidak mudah diperlekeh. Mentanglah diri ini wanita, mentanglah usia jauh lebih muda, mentanglah pangkat tidak seberapa.. tapi perlu diingat peranan yg dipegang mampu menggocang dunia, tugas yg dipikul siapa yg mampu mengalas? Katakan pada diri ini yg tindakan ini tidak wajar?

Esok cuti, 8 jam pasti bisa dilewati dgn pastas sekali.. tidakkah ini motivasi yg mudah sekali difahami oleh hati?

Tuesday, December 9, 2008

Self-Centred

Kita semua dianugerahkan kebolehan utk memahami tetapi mengapa kita buta? Atau adakah kita pura-pura tidak mengerti? Atau sengaja mengelak utk menerima kerana keinginan utk meletakkan kepentingan diri di tempat pertama melebihi segala? Kiranya perkara yg sama terkena batang hidung sendiri mudah pula kita utk merengus & mengeluh... mengkhabarkan kepada semua kekecewaan hati, melepaskan amarah agar semua org mengerti. Lalu tatkala yg lain mudah benar kita lupa diri.. mengulangi perkara yg kita benci kepada manusia lain. Ketika itu dimanakah kewajaran hati? Terlupakah bagaimana rasanya diperlakukan sebegitu? Atau ingin berkongsi rasa agar kebencian dapat direbakkan?

Manusia yg senantiasa meletakkan dirinya dahulu & pertama, mengutamakan perasaannya dari sekeliling, melebihkan pendapatnya berbanding orang lain.

"Pedulikan sensitiviti manusia lain, bukankah aku ini ketua, semestinya kata-kataku benar belaka, seharusnya perasaanku yg diutama, sememangnya aku yg layak bersuara. Aku melakukan yg terbaik, tingkahku tidak pernah silap, strategiku tidak pernah tersasar, keputusanku sentiasa tepat dan aku tidak pernah gagal. Aku tidak boleh diragui tetapi aku berhak mempersoalkan segala-galanya hinggakan ke keputusan peribadimu"

Thursday, November 27, 2008

Bicara Pertama

Permulaan kata pembuka bicara.. tidak pernah terlintas meluah rasa kepada dunia, melahir perasaan kepada umum.. secara tiba-tiba & tidak disangka, tabiat ini berubah pula...

Sebetulnya bukan untuk tatapan umum, tetapi andai kata ada yg singgah, sudikanlah menyapa.. Persahabatan tidak mengenal siapa, asalkan sahaja faham bahasa yg tertera..

Terlalu lama tidak berbahasa, terasa canggung seperti ada yg tidak kena. Namun kerana ruang ini tidak perlu disewa maka biarkan saja ia ke udara... andai ada yg tidak kena, butakan mata, abaikan sahaja.. bagaimanapun teguran dialu-alukan.. yang eloknya kita saling tegur-menegur & berpesan-pesan..

Biar kelak ruangan ini menjadi halaman untuk mengasah tinta agar tidak dilupakan terus bahasa ibunda yang kian terpinggir ini.

Semoga nanti tiada kata yg menyakitkan hati, kerana blog ini sekadar catatan peribadi.. pendapat sendiri.. olahan rasa naluri semulajadi..


Harap sudi dtg lagi!